Mahallah Ali Ibn Abi Talib :: The Leading Mahallah in IIUM :: International Islamic University Malaysia

  • 03:56:35 am on March 31, 2007 | 0

    SEMPENA ulang tahun ke-200 Hari Polis pada hujung minggu ini, perlu kita memerhatikan beberapa cadangan baru yang boleh dimanfaatkan bersama untuk meningkatkan peranan polis kepada masyarakat dan negara.

    Anjakan paradigma di dalam hubungan polis dengan masyarakat perlu dilakukan demi memastikan situasi menang-menang di kedua-dua pihak.

    Pendekatan penguatkuasaan undang-undang dijalankan polis akan lebih berkesan sekiranya disertakan bersama penerapan nilai rohani dan agama di dalam mendedahkan kepada masyarakat mengenai bahaya jenayah dan kepentingan menjaga keselamatan negara.

    Untuk itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mewujudkan Unit Agama seperti dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia yang memiliki Kor Agama (Kagat) sebagai usaha berterusan di dalam mendidik masyarakat. Unit itu kelak akan menjadi serampang dua mata pihak polis iaitu sebagai badan dakwah dan penguat kuasa.

    Kewujudan unit khusus yang bergerak dengan latar belakang agama, akan dapat membantu pihak polis menyedarkan masyarakat ke arah mencintai keamanan dan menjauhi jenayah menurut kaca mata agama.

    Pihak polis juga perlu diberikan peluang menaiki mimbar Jumaat di masjid tempatan untuk menyampaikan mesej mendidik masyarakat. Kehadiran mereka dengan lengkap berseragam polis dan bertongkatkan senjata atau cotar sebagai menggantikan tongkat khatib sudah pasti menarik perhatian jemaah terhadap isu yang hendak dilontarkan.

    Pegawai terbabit akan berkhutbah melaporkan statistik jenayah setempat dan memberikan panduan untuk mengelakkan sebarang kelakuan jenayah serta hukuman yang bakal ditanggung pelaku jenayah. Pegawai polis yang menjaga sesuatu kawasan adalah pihak yang lebih memahami mengenai situasi tempat itu dan mampu memberikan impak maksimum di dalam pendidikan mengenai keselamatan.

    Ia bersesuaian dengan prinsip dakwah yang terkandung di dalam Surah Ibrahim, ayat 4, bermaksud: “Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya ia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka.” PDRM juga perlu menghantar wakil mereka sebagai ahli panel ke kuliah serta forum agama seperti rancangan al-Kulliyah dan Forum Perdana Ehwal Islam dengan penam-pilan kepolisan mereka untuk memberikan penjelasan mengenai aspek iman, Islam, keselamatan dan bahaya jenayah menurut kaca mata Islam.

    Dengan usaha sedemikian, skop penyampaian dakwah bukan hanya terserah kepada sesetengah pihak saja seperti ustaz, wakil Kagat dan Majlis Agama Negeri, bahkan meliputi semua pihak termasuk polis. Bahkan penyampaian pihak polis yang sentiasa berhadapan dengan realiti sebenar masyarakat adalah lebih praktikal, berpijak di bumi nyata dan berkesan mengubah masyarakat.

    Dengan menjalankan dua peranan di atas, kewujudan polis akan terus relevan dengan masyarakat bersesuaian dengan pengiktirafan Allah terhadap fungsi polis di dalam al-Quran Allah, bermaksud: “Dan kalaulah Allah tidak menolak setengah manusia (yang ingkar dan derhaka) dengan setengahnya yang lain (yang beriman dan setia) nescaya rosak binasalah bumi ini; akan tetapi Allah sentiasa melimpah kurnia-Nya kepada sekalian alam.” Surah al-Baqarah, ayat 251.

    Firman-Nya lagi: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan serta gereja (kaum Nasrani), dan tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” Surah al-Hajj, ayat 40.

    ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM
    Jabatan Tilawah al-Quran,
    Pusat Bahasa UIAM.

    Muncul di Utusan Malaysia (Surat Pilihan) pada 23.3.2007

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: