Mahallah Ali Ibn Abi Talib :: The Leading Mahallah in IIUM :: International Islamic University Malaysia

  • 04:12:08 am on March 31, 2007 | 0

    Oleh SAODAH ABD. RAHMAN 
    DUA konsep atau falsafah ciptaan manusia iaitu menjadi hamba kepada Allah dan pemimpin Allah di muka bumi ini tidak dijadikan sebagai satu prinsip kehidupan umat Islam masa kini. Lantaran pengabaian dan kejahilan mengenai falsafah kehidupan manusia maka umat Islam masa kini berada dalam ambang kemusnahan dan kejatuhan.
     

    Umat Islam masih tidak menyedari bahawa kejatuhan mereka adalah akibat daripada sikap dan mentaliti yang tidak bertamadun. Islam membentuk satu masyarakat yang bertamadun dalam aspek berkaitan personaliti, hal ehwal kemasyarakatan, kepimpinan, pentadbiran dan kenegaraan.  Umat Islam hanya menggunakan Islam sebagai slogan untuk mempamerkan kehebatan dalam pentadbiran, kepimpinan dan corak hidup.  

    Hakikatnya, apa yang dilaungkan itu boleh diibaratkan sebagai memukul gendang kosong. Ia sepatutnya dijadikan amalan seharian di mana akhirnya nilai-nilai tersebut terukir dalam sanubari dan pemikiran mereka.  Umat Islam sering menudingkan jari kepada Barat sebagai masyarakat yang tidak bertamadun dan bermoral. Sikap yang sering merendahkan kedudukan orang lain secara membuta tuli tanpa menilai aspek kebaikan masyarakat lain bukan sahaja boleh membantut pemikiran umat Islam malah ia juga boleh mendorong umat Islam bersikap angkuh dalam keadaan jahil. 

    Kelemahan Barat dalam aspek keruntuhan moral berkaitan dengan dosa-dosa peribadi seperti berzina, hiburan-hiburan liar dan menjadikan kebendaan sebagai Tuhan adalah unsur-unsur yang meruntuhkan tamadun Barat dalam aspek moral. Adakah keruntuhan moral begini tidak wujud dalam negara-negara Islam? Hakikatnya, pada masa ini setiap bentuk keruntuhan moral di negara Barat sudah menjadi amalan sebahagian hidup masyarakat Islam terutamanya di negara Islam yang pesat membangun. Barat tetap kukuh walaupun masyarakatnya hancur dalam aspek moral. Mereka masih kukuh mempertahankan falsafah pekerjaan yang terikat dengan disiplin dan prosedur pekerjaan yang ketat dan serius. Sikap kasihkan negara dan semangat untuk mempertahankan kedudukan sebagai sebuah negara yang maju dan berkuasa mendorong para pentadbir, pemimpin dan rakyatnya menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas yang dipikul oleh mereka. 

    Mereka patuh dengan disiplin dan prosedur pekerjaan walaupun corak kehidupan mereka bergelumang dengan dosa-dosa peribadi. Sikap tamak dan gelojoh untuk mengaut kekayaan diri melalui jawatan yang disandang oleh mereka adalah terbatas jika dibandingkan dengan para pentadbir dan para pemimpin di negara Islam.  Ini disebabkan konsep demokrasi yang diamalkan oleh negara mereka memberi kebebasan yang mutlak kepada masyarakat mempersoalkan tingkah laku dan penyalahgunaan kuasa di kalangan para pentadbir dan pemimpin mereka.  

    Adakah kebebasan begini wujud dalam negara Islam? Hakikatnya, penyalahgunaan kuasa dan ketamakan para pemimpin dan pentadbir mengaut kekayaan negara hasil daripada jawatan yang disandang lebih tinggi peratusnya jika dibandingkan dengan para pentadbir dan pemimpin negara Barat.  Setiap perancangan untuk negara dan masyarakat sering dikaitkan dengan keuntungan yang boleh dimiliki oleh para pemimpin dan pentadbir. Hasilnya rakyat hanya dapat menikmati baki hasil yang telah diagih kepada para pemimpin.  

    Kemajuan dan kenikmatan hasil kekayaan negara dinikmati sepenuhnya oleh para pemimpin ketika menjawat jawatan kepimpinan. Oleh itu setiap perancangan kerajaan kurang memberi kesan yang baik kepada masyarakat kerana perebutan hasil keuntungan negara menjadi matlamat hidup dan rebutan di kalangan para pemimpin sebelum disumbangkan kepada masyarakat. Ketelusan dalam pentadbiran dan kepimpinan menjadi persoalan yang paling kritikal di kalangan rakyat di negara-negara Islam.  

    Kebanyakan perancangan untuk kemajuan negara sering terbengkalai atau kurang memuaskan akibat daripada sikap dan mentaliti pemimpin dan pentadbir yang tidak menghiraukan falsafah hidup dan pekerjaan seperti digariskan oleh Islam. Kemiskinan dan permasalahan masyarakat tidak dapat ditangani kerana orang yang diberikan amanah oleh rakyat dan negara tidak menyedari bahawa mereka adalah hamba dan pemimpin Allah di muka bumi yang mesti menganuti konsep hidup dan falsafah pekerjaan dalam Islam.  

    Hati nurani yang telah disulami dengan kebendaan dan ketamakan tidak akan merasai dan menyedari erti dosa mengambil hak rakyat sebanyak mungkin sebelum diagihkan keseluruhannya. Ini adalah merupakan penyakit yang melanda negara Islam masa kini.Umat Islam perlu lebih terbuka minda melihat serta merenung sejauh mana mereka telah mengamalkan falsafah hidup dan pekerjaan dalam Islam.  Usah terlalu gemar melaungkan suara memburukkan masyarakat Barat kerana keburukan yang dilaungkan itu sudah menjadi budaya masyarakat Islam masa kini. 

    * DR. SAODAH ABD. RAHMAN ialah pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). 

    Muncul di Utusan Malaysia (Pendapat) pada 23.3.2007

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: